Amalan Terbaik


Pengenalan

Amalan Terbaik dalam Pendidikan Moral merupakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P & P) yang diamalkan oleh guru cemerlang dan berpengalaman dalam mata pelajaran ini. Amalan terbaik mata pelajaran Pendidikan Moral dikenal pasti selepas beberapa kaedah P & P yang diamalkan oleh guru-guru didapati berkesan dalam bilik darjah. Antara amalan terbaik yang dikenal pasti ialah pembelajaran aktif, pembelajaran koperatif, pembelajaran secara kontekstual, pembelajaran berdasarkan kecerdasan pelbagai, pengaplikasian kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif serta Theory of Constraints (TOC).

Kaedah Dan Teknik Pengajaran dan Pembelajaran Dalam Pendidikan Moral

Pengajaran dan pembelajaran dalam Pendidikan Moral adalah berasaskan aktiviti yang memerlukan penglibatan murid secara aktif. Oleh itu guru perlu merancang P & P supaya aktiviti di bilik darjah berjalan lancar.  

Terdapat pelbagai kaedah yang boleh diaplikasikan guru dalam P & P Pendidikan Moral seperti pembelajaran aktif, pembelajaran koperatif, pembelajaran secara kontekstual, pengaplikasian kecerdasan pelbagai, kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dan TOC. Guru digalakkan menggabungkan pelbagai kaedah P & P supaya aktiviti P & P di bilik darjah menarik dan berkesan.

Selain kaedah-kaedah tersebut, terdapat pelbagai teknik P & P yang boleh dijalankan oleh guru-guru di bilik darjah. Antara teknik yang kerap digunakan dalam P & P Pendidikan Moral adalah seperti yang berikut.

  1. Aktiviti Lisan 
    • Sumbang saran
    • Perbincangan berpasangan (Think-pair-share)
    • Perbincangan kumpulan
    • Bercerita
    • Nyanyian
    • Perbahasan
    • Main peranan
    • Drama atau lakonan
    • Simulasi
  2. Aktiviti Penulisan Interaktif
    • One-minute paper
    • Aktiviti penulisan koperatif
    • Mencatat nota berdasarkan maklumat yang disampaikan guru
    • Melakarkan carta, peta konsep, rajah, gambar
  3. Pembelajaran Berasaskan Visual
    • Pembelajaran berdasarkan demonstrasi dan tayangan filem/video/tv
    • Persembahan menggunakan OHP/sofware
  4. Pembelajaran Berorientasikan Penyelesaian Masalah
    • Pembelajaran Berasaskan Masalah (Problem-Based Learning) atau dilema moral
    • Permainan (games)
    • Kajian kes

Berikut  ialah amalan terbaik dalam Pendidikan Moral yang dihasilkan oleh guru-guru pakar Pendidikan Moral yang dilantik oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Pusat Perkembangan Kurikulum  telah mengambil inisiatif mendokumentasikan hasilkerja guru-guru pakar ini untuk dikongsi bersama bagi meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran guru di bilik darjah.

Unit Pendidkan Moral
Pusat Perkembangan Kurikulum
Kementerian Pelajaran Malaysia