Konsep Penilaian


Konsep Penilaian

  • Guru memainkan peranan penting dalam mengesan kebolehan, kemajuan dan pencapaian murid.
  • Guru menentukan hasil pembelajaran yang hendak dinilai, merancang dan membina instrumen penilaian, menganalisis maklumat penilaian, melapor dan membuat tindakan susulan.
  • Melalui aktiviti penilaian, guru dapat memastikan perkembangan potensi secara menyeluruh dan bersepadu dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Terdapat 2 jenis penilaian di sekolah iaitu:
    1. Penilaian Formatif
    2. Penilaian Sumatif

Penilaian Formatif

  • Penilaian dijalankan secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
  • Maklumat yang diperoleh daripada penilaian formatif dapat memberi maklum balas tentang sejauh mana sesuatu hasil pembelajaran telah dikuasai.
  • Maka guru dapat mengetahui tentang kelemahan dan kekuatan serta potensi seseorang murid dan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya.
  • Guru juga boleh menilai kemajuan murid dalam pelbagai aspek termasuk aspek-aspek yang tidak dapat dinilai secara berpusat.

Penilaian Sumatif

  • Penilaian sumatif dikaitkan dengan penilaian pada akhir tahun atau pada akhir semester.
  • Penilaian ini memberikan nilai yang membezakan pencapaian seorang murid dengan murid lain dan seringkali digunakan untuk membuat pemilihan.
  • Penilaian secara berpusat iaitu UPSR, PMR, SPM dan STPM biasanya dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia.
  • Keputusan penilaian secara berpusat dapat memberi maklumat tentang pencapaian murid di seluruh negara.

Objektif Penilaian di Sekolah (Formatif dan Sumatif)

  • Mengesan perkembangan murid secara menyeluruh
  • Mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dalam pembelajaran lebih awal dari semasa ke semasa
  • Mengetahui keberkesanan pengajaran
  • Merancang dan mengubah suai pengajaran
  • Menjalankan tindakan susulan yang sesuai dengan serta-merta

Kepentingan Penilaian dalam Pendidikan Moral

  • Penilaian yang dilaksanakan dengan sempurna oleh guru dapat membantu murid mengatasi masalah pembelajaran yang telah dikenal pasti pada peringkat awal lagi supaya kelemahan tersebut tidak terhimpun seterusnya.
  • Kekuatan murid yang telah menguasai sesuatu nilai dan tindakan secara bermoral dapat diperkukuh dan diperkayakan.
  • Melalui aktiviti tindakan susulan yang efektif, guru dapat membantu murid meningkatkan kemajuannya dalam pembelajaran dan seterusnya memperoleh pencapaian cemerlang dalam penilaian sumatif dan penilaian di peringkat pusat dan dalam diri murid dari aspek kognitif/pemikiran afektif/perasaan dan tingkah laku moral.